General Line

+603-78723000

Emergency Line

+603-78723199

WhatsApp

+603-78723100

Search
Close this search box.

Sanggup Turun Naik Tangga Rawat Luka

Servis tersebut merupakan salah satu daripada lapan program di bawah ASSISS yang memberi manfaat kepada orang ramai.

Bukan semua individu mampu menjaga orang sakit terutama mereka yang mengalami ulser kulit, melecur atau terkoyak.

Namun, tidak bagi jururawat bahagian penjagaan luka, Eleesa Clementi Walter, yang tiada sekelumit perasaan kurang senang di lubuk hatinya.

Bahkan, wanita berusia 25 tahun itu menganggap tugas merawat luka khususnya dalam kalangan pesakit diabetes atau mereka menghampiri penghujung usia adalah tanggungjawab dan matlamat hidup yang harus disempurnakan sebaik mungkin.

Tugas yang digalas itu bukan sahaja memerlukannya mengendalikan ragam pesakit, malah perlu berdepan cabaran lain termasuk mengharungi kesesakan trafik dari satu kawasan ke kawasan lain seperti di Gombak ataupun Klang, Selangor. Ia berikutan Eleesa perlu merawat sekurang-kurangnya enam pesakit saban hari.

Adakala, dia terpaksa naik dan menuruni tangga kediaman pesakit setinggi lima tingkat.

Bagaimanapun, cabaran itu tidak sedikitpun mematahkan semangatnya kerana menyifatkan setiap pekerjaan mempunyai liku-liku tersendiri.

“Sejujurnya, saya sentiasa gembira bertemu pesakit kerana berpeluang membantu meningkatkan kualiti penjagaan terutama golongan kurang berkemampuan”, katanya ringkas.

Bicara Eleesa perjalanannya dalam dunia kejururawatan tidak mudah. Peringkat awal, ibu bapanya kurang bersetuju dengan keputusan beliau untuk menjadi jururawat.

Pun demikian, lama-kelamaan mereka berubah hati selepas mendapat khabar gembira Eleesa berjaya melanjutkan pengajian di Kolej Kejururawatan Tun Tan Cheng Lock, Petaling Jaya, Selangor.

 

KONGSI PENGALAMAN

“Mereka mahu saya menjadi guru atau pegawai polis, tetapi saya memilih untuk berbakti kepada masyarakat mengikut cara sendiri.”

“Semuanya bertitik tolak selepas ternampak sekeping poster memaparkan Hospital Assunta, Petaling Jaya, Selangor yang sedang mencari jururawat. Lalu, saya segera memohon dan teruja apabila diterima masuk ke sana.”

“Lebih mengujakan, permohonan biasiswa turut berpihak kepada saya”, jelasnya lanjut,

Mengimbau momen terdetiknya untuk menjadi jururawat, kongsi Eleesa, beliau terpanggil mendalami bidang perubatan pada usia 17 tahun selepas mengalami radang apendiks (apendisitis).

“Ketika itu tidak tertanggung kesakitan yang dialami, namun bersyukur ibu bapa bergegas membawa saya dari Papar ke hospital di Kota Kinabalu, Sabah”, luahnya.

Tidak disangka, pengalaman itu telah membawa perubahan dalam hidupnya untuk mendalami bidang perubatan.

Mengakui tugas mengendalikan pesakit bukan perkara mudah, Leesa turut berkongsi pengalaman suka duka yang kekal tersemat dalam kotak memori.

Antaranya, beliau pernah menerima klip video seorang pesakit kanser payudara yang sedang tersenyum dan memberitahu bawhawa dirinya berada dalam keadaan baik. Bagaimanapun, beberapa hari kemudian pesakit terbabit disahkan meninggal dunia.

“Pemergiannya memberi kesan mendalam kepada saya, namun kami telah melakukan sehabis baik menjaga pesakit berkenaan”, ceritanya.

Dengan sokongan insan sekeliling, beliau kini mampu menyumbang pengalaman kepada para pesakit yang disenaraikan dalam Perkhidmatan Sosial Bersepadu Assunta (ASSISS).

Tambahnya, sokongan seperti itu amat penting dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik buat pesakit.

“Lazimnya, terdapat seorang jururawat senior yang akan menjelaskan situasi setiap kes pesakit sebelum kami turun padang untuk berjumpa mereka (pesakit).

“Saya percaya aktiviti seumpama ini membantu memberi manfaat kepada diri sendiri.

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Perubatan ASSISS, Dr Darshinia Ballasingam berkata, penjagaan luka adalah salah satu bahagian dalam bidang kejururawatan.

Beliau menjelaskan, Diploma Kejururawatan diperlukan bagi melayakkan seseorang bekerja dalam bahagian tersebut.

“Pada tahun pertama tempoh Diploma Kejururawatan (kursus spenuh masa selama tiga tahun), pelajar akan didedahkan dengan asas-asas penjagaan luka.

Subjek yang berkaitan dengan penjagaan luka ialah Anatomi dan Fisiologi (semester pertama) dan Keadaan Keradangan serta Jangkitan pada semester kedua (kelas teori),” tuturnya kepada Majoriti 7.

“Sejujurnya, saya sentiasa gembira bertemu pesakit kerana berpeluang membantu meningkatkan kualiti rawatan penjagaan mereka terutaamanya golongan kurang berkemampuan”, Kata Eleesa.

Eleesa sanggup mendaki anak tangga demi memberikan rawatan terbaik kepada pesakit.

Tambah Dr Darshinia, pelajar turut mempelajari aspek-aspek praktikal penjagaan luka ketika prosedur dilakukan seperti balutan, membuka jahitan, mengeluarkan cecair dan penjagaan pelbagai jenis luka termasuk luka pembedahan, melecur dan luka jangkitan.

 

LENGKAP KURSUS

Katanya, pendedahan kepada penjagaan luka bermula dari semester kedua (tahun pertama) hingga semester enam (tahun ketiga).

Selepas memperoleh Diploma Kejururawatan, jururawat yang berminat untuk bekerja dalam bahagian penjagaan luka perlu melengkapkan kursus sambungan dalam tempoh enam bukan sehingga satu tahun.

Menurutnya, beliau dan jururawat di bawah ASSISS akan mengadakan mesyuarat mingguan bagi membincangkan setiap kes dan lawatan rumah semua pesakit di Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

Ujar Dr. Darshinia, menerusi kaedah itu, pihaknya dapat menilai kekuatan dan kelemahan program tersebut bagi menangani jurang yang perlu diperbaiki.

“Sebagai petugas barisan hadapan, kami tidak terlepas daripada rasa empati kepada pesakit dan keluarga mereka. Kami berkongsi pengalaman dalam mewujudkan ikatan mesra dengan pasukan.”

“Kami juga berterima kasih kepada penyokong dan penderma dalam membantu memberikan rawatan dan sokongan perubatan diperlukan golongan kurang berkemampuan yang sering diabaikan,” jelasnya.